~Solat dan Kita


Apabila solat itu sendiri tidak dapat menjadi pencegah maksiat kepada diri kita, maka benarlah Roh solat itu sendiri tidak dapat meresapi diri manusia yang mendirikan solat itu.

Seseorang muslim yang mengerjakan solat kebiasaannya menempuh tahap-tahap berikut :

1. Tahap ilmu:

Seorang muslim setelah mengetahui kewajipan solat, kemudian mempelajarinya dengan telilti melalui ilmu Fiqh iaitu syarat wajibnya, sahnya, rukun-rukunnya, sunat-sunatnya, perkara-perkara yang membatalkannya dan sebagainya. Tetapi ilmu mengenainya tidak memadai sekiranya tidak disertai keyakinan dan amal.

Ertinya ilmu hendaklah diselaraskan dan diselarikan dengan hati, akal dan perbuatan kita dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Apabila Allah memerintahkan kita mendirikan solat dan memberitahu kita bahawa kejayaan itu terletak pada solat, maka akal kita tidak boleh ragu dan was-was. Akal mesti mengakuinya. Tetapi bila akal sudah yakin, itu belum cukup. Kita mesti pergi ke tahap yang kedua.

2. Tahap kedua: Menundukkan hati

Sekiranya akal kita sudah tahu secara keseluruhan tentang kepentingan solat tapi hati kita masih berat untuk mengerjakannya seolah-olah menganggap solat itu tidak penting. Sebab itu tahap kedua ini dinamakan tahap mujahadah. Iaitu bermujahadah supaya apa yang diselaraskan oleh akal dan ilmu itu juga diakui oleh hati.

Kalau hati sudah tunduk, tandanya apa yang kita buat terasa lazat. Kalau tidak rasa lazat, kalau rasa menderita sahaja, terasa berat untuk mengadap Allah, maka hendaklah bermujahadah bersungguh-sungguh sehinggalah sampai ke peringkat ketiga.

3. Tahap ketiga: Menjadi tabiat dan istiqamah

Maknanya solat itu sudah menjadi amalan dalam hidupnya secara istiqamah. Tidak perlu dipaksa-paksa lagi. Sebab itu di dalam Islam, para ibubapa hendaklah mengajar anak-anak solat seawal umur tujuh tahun lagi dan anak-anak tadi boleh dipukul ketika umur sepuluh tahun dan ke atas sekiranya mereka cuai dan meninggalkannya.

Tujuannya supaya solat itu menjadi tabiat dan kebiasaannya sehingga ke akhir hayat. Kemungkinan juga saudara/ri terasa berat untuk mengerjakan solat kerana tidak merasai kebesaran dan keindahan solat itu sendiri. Bila membicarakan soal solat ini, kita tidak boleh menganggap bahawa kita sedang surut ke belakang semula. Sebenarnya tidak, kerana solat adalah perkara yang penting.

Kalau hendak dilihat pada kepentingan solat adalah seperti berikut :

Solat merupakan tiang agama:



Jika iman diibaratkan akar tunjang bagi pokok, solat pula ialah batangnya. Kalau hendak mendirikan sebuah rumah, perlu ada tapak dan tiang-tiang serinya. Rumah tidak akan dapat dibangunkan kalau tidak ada tiang serinya. Begitulah Islam, tidak akan dapat dibangunkan jika solat tidak didirikan. Sebab itu dikatakan, solat adalah tiang agama.

Sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama. Jadi, sekiranya kita memperumpamakan Islam itu sebagai rumah, maka Islam yang global itu umpama rumah yang serba lengkap. Mempunyai atap,tiang, dinding dan ada segalanya, maka tiang kepada Islam itu adalah solat.

Sekiranya kita hendak membina Islam yang syumul, solat merupakan perkara pertama yang harus kita perkemaskan. Segala kerja kita dalam apa-apa bidang sekalipun sekiranya solat tidak kemas dan dicuaikan, maka kerja-kerja kita itu tidak membuahkan hasil yang baik. Kita sibuk dengan kerja, peranan dan khidmat sedangkan waktu itu kita semakin cuai dengan solat. Ertinya kita tertipu dalam hidup.

Solat merupakan amalan yang mula-mula dihisab di akhirat:

Solat merupakan perkara pertama yang diperiksa di akhirat. Jika solat baik dan sempurna, maka mudahlah pemeriksaan pada amalan-amalan selepasnya. Jika ia baik, baiklah amalan-amalan yang lain. Sebaliknya, jika solat tersangkut, maka tersangkutlah amalan-amalan yang lain.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

"Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi &ldots;.."
(Riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).


Mengandungi ikrar setiap hamba:

Di dalam solat ada ikrar yang dilakukan oleh setiap yang mengerjakannya kepada Allah SWT. Solat yang pertama adalah ikrar yang mula-mula sekali dibuat oleh hamba kepada Tuhannya. Solat yang kedua, ketiga dan seterusnya merupakan ikrar pembaharuan sahaja. Inilah kehebatan solat. Kerana sehari semalam ada 5 kali ikrar yang dibuat sebagai taat setia kepada Tuhan.

Ikrar itu jelas di dalam doa iftitah iaitu ketika mengucapkan :

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah Tuhan sekalian alam"

Menggambarkan amalan-amalan para malaikat:

Jumlah malaikat yang terlalu banyak itu beribadah kepada Allah dengan cara mereka yang tersendiri. Ada yang asyik sujud, ada pula yang asyik rukuk dan lain-lain. Para malaikat ini kekal dengan satu-satu amalan itu dengan istiqamah. Yang takbir, takbir sahaja. Begitulah yang bertasbih, asyik bertasbih sahaja. Tetapi dalam solat, manusia telah melakukan berbagai-bagai amalan para malaikat. Di sinilah kehebatan manusia berbanding dengan malaikat. Amalan manusia walaupun tidak sebanyak para malaikat tetapi kepelbagaiannya mengatasi amalan malaikat.

Bermacam-macam bentuk ibadah:


Dilihat dari bacaannya sahaja, bacaan solat terdiri daripada pelbagai bentuk yang mengandungi zikir, selawat, ayat Quran, hadis dan lain-lain. Bacaan Fatihah, adalah ayat Quran. Bacaan tahayyat diambil daripada hadis. Dalam solat juga ada tasbih, tahmid dan doa.

Melibat seluruh anggota lahir dan batin:
Solat melibatkan banyak anggota lahir dan batin manusia. Rukun Qalbi, Qauli dan Fi'li telah melibatkan hati, akal dan anggota badan manusia. Rukun Qauli misalnya, melibatkan lidah dan akal. Lidah menyebutnya, akal memahaminya.


......

Nak Elak Mengumpat...


Dalam hidup seharian,kita takkan lari dari terlibat dari aktiviti mulut ini..

Mengumpat bukan sahaja sinonim dikalangan perempuan..dikalangan lelaki pun apa kurangnya?

Maaf kaum lelaki,inilah kebenaran.Tapi cuba kita renungkan bersama..Kalau kita mampu elakkan diri dari mengumpat,tapi mendengar umpatan orang pula lebih kurang sama dosa dengan mengumpat...

Makna mengumpat tu seperti umumnya yang kita tahu..bila kita mengata tentang sesuatu yang buruk .. dibelakang hamba Allah tu.

Dan bila dia tahu dia tentu marah atau kecil hati..Dah nama pun mengumpat,tentu la berkongsi sesuatu yang tak baik kan???

Kadang-kadang kita tak nak terlibat dalam aktiviti senaman mulut kurang sihat ni,tapi cerita..orang kata kalau tak mengumpat ni macam masakan tiada rasa..macam garam dan gula pula..tapi kita sedar tak,perencah ni memang mahal dan terlaris sebab nak mengumpat ni dosa besar.

Dalam Islam,mengumpat ni seperti makan daging saudara seislam sendiri.MasyaAllah,sampai begitu sekali perumpamaan aktiviti senaman mulut ni!

Walaubagaimanapun pun,kita adalah hambaNya yang lemah.Itulah pentingnya kita saling ingat mengingatkan,bukan nak buruk-memburukkan.

Kalau keburukan diri dapat diterima dan cuba dikikis sebaiknya,siapakah kita untuk menilai keburukan orang lain?

Fokus kembali pada tips-tips nak elakkan mengumpat/sesi mengata ni..

1) Bila berkumpul dengan kawan-kawan..

dan bila rakan dah mula filem umpat dengan watak yang bertambah-tambah dan siap letakkan jiwa dan emosi lagi.

Masa tu,kalau dah bersama,mesti susah nak elak dari bubuh skrip tambahan.

Dinasihatkan masa ni la kita banyak-banyak Ingat Allah.

Sedar yang kita ni pun sama taraf dengan orang yang diumpat tu iaitu Hamba Allah.

Masing-masing ada kekurangan.Cepat-cepat istighfar,sambil tu tegurlah kawan sama..Kalau tak dapat juga..sebaiknya kita pergi dari situasi ni.

2) Bila yang nak jadi moderator 'umpat2' tu kawan baik kita sendiri..

Apa kata kita ajak dia berbual tentang keburukan diri masing-masing?

Bila kita bercerita tentang baik buruk diri kita ni..sekurang-kurangnya kita pun sedar banyak juga kekurangan kita.

Tak payah lah cerita semuanya,tapi cuba fikir..rasanya kalau nak senaraikan pun mesti lebih tiga,lebih dari sepuluh?dua puluh?..jadi layakkah kita nak bagi senarai keburukan orang,sedangkan senarai keburukan kita sendiri pun dah lebih dari sebakul.

3) Bila yang nak ajak mengumpat tu 0rang seni0r dari kita..

tentu payah benar nak buat sesi teguran kan?

Apa kata kalau tak dapat nak elak pun.

.sambil dia lafaz bait-bait mengata tu,kita pula sambung setiap ayat umpatan tu dengan doa.

Doakan sesiapa yang diumpat dengan ikhlas,supaya Seni0r kita tu pun sedar dengan sendirinya.InsyaAllah!

4) Bila terasa sakit hati dengan seseorang hamba Allah tu..

dan terasa nak cari kawan nak buka forum mengumpat,Jom ambil wudhu secara Tertib.

Masa nak kumur2 tu,bacalah doa.Minta dipelihara lidah ni dari perbuatan yang memberi dosa..InsyaAllah.

Semoga dengan itu,segala niat buruk tu terbatal sendiri.

5) Kalau kita selalu terlupa tentangNya,apa lagi bila tengah cerita panas atau gosip liar.Masa ni nak istighfar pun berat sekali nak buat.Apa lagi nak muhasabah diri yang dah rebah kan?

Jadi..sumbatkan lah telinga anda dengan lagu-lagu atau sebaiknya..dengar bacaan alQuran ke..nasyid ke.

Ini lebih baik dari bibir tu mengata hal-hal tepi kain orang.Sedangkan tepi kain sendiri entah masih elok atau tak..dah koyak ke..atau tersangkut kat mana-mana..

Sebab tu kita ada dua telinga..sebagai perumpamaan kita kena mendengar dua kali dulu sebelum bercakap sesuatu..

6) Bila nak mengata orang tu..cuba bayangkan kita berada di tempat orang yang dikutuk tu..agak-agaknya boleh tak jadi seperti Khalifah atau nabi terdahulu..

Bila diumpat, boleh pula beri hadiah..siap doakan orang tu dirahmati Allah SWT.Agaknya kita antara golongan yang bila tahu ada orang cakap belakang tentu rasa nak bagi penumbuk sulung pada orang berkenaan,paling tidak pun..mengutuk dan buat la ayat makian paling pedas untuk dia.

Cuba kita ubah sedikit perspektif pemikiran kita..bila kita diumpat,tu bermakna ada orang ambil berat,ada orang cuba nak beri ingat..ada yang nak bagi pendapat.supaya dengan Tuhan kita terasa dekat.

Ujian tu taklah seberat kutukan yang nabi pernah terima dahulu kan...

7) Terakhir,Minum air banyak-banyak..dimulakan dengan selawat dan bacaan basmallah.Semoga dengan nikmat air tu,kita akan ringan untuk memujinya.


(Banyak lagi tips yang ada..tapi semuanya bergantung pada niat.Niat untuk pelihara diri dan jaga ukhwah sesama saudara.Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang bersyukur..setiap yang bersyukur akan sentiasa ingat yang memberi. Tiada unsur nak sindir sesiapa cuma sekadar memberi peringatan buat diri sendiri dan pembaca yang sudi baca..)