Niat itu lintasan hati. Oleh kerana terlalu banyaknya perkara yang melintas di dalam hati, niat itu adalah lintasan nekad hati terkawal. Seperti contoh, anak mata kamu tersorot pada seekor beruk, lalu hati kamu berdetik;
'Wah, lawanya' (lintasan luar kawal).
'Nak tengoklah' (lintasan terkawal).
Dengan erti kata lain, kamu nekad menghendakinya dan kehendak itu datang dari diri kamu sendiri. Sedang lintasan hati luar kawal adalah sesuatu yang terdetik secara sendiri. Bukan atas dasar kehendak kamu.
Positifnya niat dapat menjana daya usaha yang berterusan dan gerak kerja cemerlang dalam menggapai matlamat. Sebaliknya, Penyalahgunaan niat akan menjerebakkan pengguna ke arah sia-sia dan pembaziran.
Saidina Umar meriwayatkan hadis Rasulullah SAW:
Sesuatu pekerjaan yang diusahakan dengan niat yang berterusan akan membuahkan hasil seperti yang diniatkan, walaupun tidak seindah yang dibayangkan. Berbeza dengan sesuatu perbuatan yang terlalu sering diperbicarakan. Kerana pengaruhnya kerajaan hati, mampu mengawal selia tindak tanduk anggota badan. Tidak seperti lidah yang tidak bertulang. Akibatnya jadilah seperti pepatah melayu 'cakap tak serupa bikin' atau 'indah khabar dari rupa'.
Niat yang seragam di kalangan ahli anggota sesuatu pasukan mampu merealisasikan objektif, misi, dan visi persatuan. Keseragaman niat juga akan menyelaraskan kerjasama antara ahli jawatankuasa dalam usaha mencapai target.
Namun, istimewanya niat yang didasari kerana Allah, atau untuk mencari keredhaanNya, atau sebagainya, yang kembali kepada Allah, maka individu itu akan berusaha menurut kehendak syara' (Allah dan rasulNya); bertanggungjawab, amanah, menjaga halal haramNya, sentiasa mengawasi tindak tanduknya dan sebagainya.
Maka tidak timbul cerita penyalahgunaan kuasa, gangguan seksual, main-main mata sesama AJK sewaktu mesyuarat dan sebagainya. Kerana seluruh anggota badan telah tunduk kepada fokus lintasan nekad hati, kerana Allah Ta'ala.
Sabda Rasulullah SAW:
''Sesungguhnya, dalam jasad itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, maka baiklah seluruh jasad, jika buruk daging itu, maka buruklah seluruh jasad. Sesungguhnya itulah hati.''
Begitu juga jika kamu melakukan sesuatu kerana seseorang, kamu akan melakukannya menurut kehendaknya, kesukaannya, dan berhati-hati dari kebenciannya.
Inputnya, dalam usaha mencapai target, usahakan satu lintasan nekad di dalam hati yang berterusan setiap masa, untuk menjana daya usaha konsisten dan gerak kerja cemerlang ketika menguruskan sesuatu pekerjaan atau sesuatu perkara. Maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasulNya, maka hijrahnya adalah bagi Allah dan rasulNya. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana dunia atau perempuan yang akan dinikahi, maka hijrahnya untuk apa yang dia kehendaki.
Oleh itu perbetulkanlah niat kita sebelum melakukan sesuatu perkara. InsyaAllah, kita akan berada di landasan yang benar.
0 comments:
Post a Comment